1. Mengenal
Allah s.w.t adalah fardhu Ain atas tiap-tiap mukallaf dengan mengetahui namaNya
dan sifat-sifatNya yang bertepatan dengan syarak yang berlandaskan ajaran para
Nabi dan Rasul.
2. Nama-nama
Allah s.w.t (Al-Asma ‘ul-Husna) dan sifat-sifat yang Maha Besar dan Maha
Tinggi. Nama Allah s.w.t yang lebih masyhur di antara segala nama-namaNya ialah
Allah, disebut lafaz Al-Jalalah (Lafaz yang Maha Besar) dan yang lain daripada
ini diketahui melalui Al-Quran dan Al-Hadith. Semuanya sentiasa menjadi sebutan
umat Islam contohnya Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus, As-Salam, Al-Mukmin.
3. Sifat-sifat
yang diketahui oleh mukallaf terbahagi kepada dua bahagian :-
1) Mengetahui
sifat-sifat Allah s.w.t dengan Ijmali (Ringkas) iaitu bahawa beriktiqad dan
berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus (jazam) bahawa wajib bagi
Allah s.w.t bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak dengan keadaan
ketuhanan dan mustahil atasNya bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.
2) Mengetahui
sifat-sifat Allah s.w.t dengan jalan tafsili (satu persatu) iaitu bahawa beriktiqad
dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli
(dengan akal) dan dalil naqli (dengan Al-Quran dan Hadith) bahawa wajib dan
beriktiqad dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli dan naqli. Maka mustahil
atas Allah s.w.t bersifat dengan segala lawan sifatyang wajib tersebut.
4. Mengenal
Allah s.w.t wajib melalui tiga perkara :-
1) Iktiqad yang
putus (jazam) iaitu tiada syak, dzan dan waham. Jika iktiqadnya ada salah satu
daripada tiga tadi maka tidak dinamakan mengenal Allah s.w.t.
2) Muafakat
(bersetuju) iktiqad itu dengan yang sebenar (bertepatan dengan iktiqad Ahli
Sunnah Wal-Jamaah), maka tidak dinamakan mengenal jika iktiqad tidak bertepatan
dengan yang sebenar (Ahli Sunnah Wal-Jamaah) seperti iktiqad orang Nasrani dan Yahudi.
3) Dengan dalil
sekalipun dengan dalil ijmali, jika iktiqadnya putus (jazam) serta bertepatan
dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi jika tidak dengan dalil maka dinamakan
taqlid.
5. Iktiqad yang
tidak terputus atau tidak bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, maka para
ulama membuat persetujuan bahawa menghukum orang itu kafir. Dan bagi iktiqad
orang bertaqlid itu timbul perselisihan ulama padanya. Mengikut qaul yang
muktamad orang yang bertaqlid itu tidak dihukumkan kafir jika taqlidnya putus dengan
dihukum mukmin yang menderhaka (jika ia belajar maka tidak dihukumkan mukmin
yang derhaka).
6. Makna taqlid
ialah menerima perkataan orang lain dengan tidak mengetahui dalil dan
keterangan.
7. Taqlid
terbahagi kepada dua bahagian :-
1) Taqlid Jazam
(putus)
- Iktiqad yang
teguh dan tidak akan berubah walaupun orang yang diikuti itu berubah. Maka
taqlid ini di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah sah imannya kerana ada mempunyai
iktiqad yang jazam (putus).
2) Taqlid yang
tidak Jazam (Tidak Putus)
- Menerima perkataan
orang lain dengan tidak teguh sekiranya orang yang diikuti seperti
guru-gurunya, ibubapanya atau lainya. Iktiqad mereka berubah-ubah mangikut
orang yang diikutinya. Maka taqlid ini dihukumkan tidak sah imannya kerana
serupa imannya dengan syak,zhan atau waham(tiada putus).
8.
Kesimpulannya iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam bahaya atau bimbang
dan tergantung kebenarannya atas orang yang diikutinya. Jika benar perjalanan
orang yang diikutinya seperti guru-gurunya maka mengikutnya selamat, tetapi
jika sebaliknya binasalah mereka.
9. Hendaklah
seseorang itu bersungguh-sungguh menuntut Ilmu Tauhid yang sahih supaya
terlepas ia daripada syak dan waham dalam iman kerana di akhir zaman ini
terdapat ramai ahli-ahli bida’ah.
10. Taqlid itu
membawa mudharat kerana jalan membawa kepada sesat yang amat hina yang tiada
layak pada seseorang manusia.
~~~~~~~ oOo
~~~~~~~